6 Pes Masakan Serbaguna Ini Boleh Hasilkan Lebih 30 Hidangan. Memang Mudah & Cepat!

Memandangkan bulan Ramadhan dah menjelma, ibu-ibu dah tentu makin sibuk di rumah. Tak kiralah sama ada yang bekerja ataupun surirumah, masing-masing letih dek kerana berpuasa. Bukan saja persiapan harian perlu diuruskan, tetapi juga persiapan Aidilfitri yang bakal tiba.

Dalam artikel kali ini, Puan Awien Ariff berbesar hati berkongsikan beberapa jenis pes masakan yang selalu digunakan dalam menu masakan harian. Dengan adanya pes-pes masakan ini yang disediakan lebih awal, ibu-ibu tentu lebih senang nak memasak pada bila-bila masa sekalipun. Tambahan pula kalau ada saudara dan kenalan datang mengejut, kita pun boleh sediakan makanan dengan cepat.

Mari kita tengok cara membuat 6 jenis pes masakan ini.

1. Pes Cili Kering

Cara buat

– Rebus cili kering terlebih dahulu.
Blend cili kering, bawang Besar, bawang putih
– Cili kering lebih kurang 1/2 kilo, bawang besar 4 biji, bawang putih (10biji)

Cadangan Masakan

  • Bihun Goreng
  • Mee Goreng
  • Kuew Teow Goreng
  • Maggie Goreng
  • Nasi Goreng
  • Asam Pedas
  • Sambal Sotong
  • Sambal Udang
  • Sambal Ayam
  • Sambal Ikan

Sambal udang petai

Contoh Masakan : Sambal Udang

i. Tumis PES 1 ( 3 SENDUK). MINYAK 5 SENDUK. Masak sambal kena guna banyak minyak. Nanti tak sedap.

ii. Dah pecah minyak, masukkan petai.

iii. Masukkan udang & asam keping sedikit.

iv. Rasakan dgn garam & perasa/gula.

SIAP!!

Nota: Cuci udang bersih-bersih. Buangkan kepala OK.

2. Santan

Yang kedua ni sebenarnya santan. Tak kisahlah santan jenis apa pun, asalkan santan sebab masakan lauk-pauk orang Melayu memang selalu pakai santan.

Kalau nak buat santan perah sendiri lagi bagus, letak kat dalam plastik bungkus masuk freezer.

3. Pes Ikan Bakar

Cara buat

Blend serai, halia, lengkuas, kunyit hidup, bawang besar, bawang putih, cili kering
– Banyak mana tu boleh agak-agak ya. Serai tu boleh lebihkan sikit. Bagi seimbang semua bahan.
– DAH SIAP, MASAK DULU YA. BARU MASUK PETI AIS.

Cadangan Masakan

  • Ikan Bakar
  • Rendang (Ayam, Daging, Kerang)
  • Masak hitam
  • Kerutuk
  • Kuzi
  • Ayam Masak Merah

Daging masak hitam

Contoh Masakan: Daging Masak Hitam

i. Rebus daging. Kemudian hiris nipis & tumbuk sedikit.

ii. Tumis bawang merah, bawang putih, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis.

iii. Masukkan pes.

iv. Dah pecah minyak, masukkan bawang goreng & kicap sedikit lagi supaya warnanya lebih gelap.

v. Masukkan garam & perasa/gula.

SIAP!

4. Pes Masak Lemak

Cara Buat

Kisarkan
– Bawang Besar 3 biji
– Bawang Putih 8 biji
– Halia seketul
– Kunyit Hidup sebiji
– Cili Hijau (Ikut nak pedas mana)

Cadangan Masakan

  • Gulai Lemak (Ayam, Daging, dan sebagainya)

Masak lemak ikan masin

Contoh Masakan: Masak Lemak Ikan Masin

i. Tumis pes (3 SUDU) bersama 1 batang serai yang diketuk.

ii. Dah naik bau, masukkan santan & air sedikit.

iii. Masukkan asam keping

iv. Masukkan ikan masin yang sudah dicuci terlebih dahulu.

v. Masukkan kentang yang sudah direbus terlebih dahulu.

vi. Masukkan Bendi, tomato dan daun kunyit yang disimpul.

SIAP!

5. Pes Cili Api / Pes Serbaguna

Cara Buat

– Cili (saya guna cili akar je sebab rumah ni tak makan pedas), Bawang Merah (yang kecil), Bawang putih
– Cili 20biji
– Bawang merah 10biji
– Bawang putih 5biji

Cadangan Masakan

  • Nasi Goreng Cilipadi / Nasi Goreng Cina
  • Bihun Goreng Singapore
  • Mee Goreng
  • Maggie Goreng
  • Sambal Ayam Hijau
  • Ikan Sambal Cili Api
  • Segala jenis tumis boleh guna pes ni ,(tumis sayur etc)

Sambal cili ikan kembung

Contoh Masakan: Sambal Cili Ikan Kembung

i. GORENG IKAN TERLEBIH DAHULU.

ii. TUMIS PES 5 ( SESENDUK) sampai terbit minyak dalam minyak gorengan ikan tadi.

iii. Masukkan bawang merah yang dipotong bulat.

iv. Masukkan garam & gula sedikit.

v. Masukkan ikan goreng tadi.

SIAP!

6. Pes Kari

– Bawang Merah, Bawang Putih, Halia, Kunyit hidup, Cili Serbuk Kari
– Bawang Merah 20biji
– Bawang Putih 10biji
– Halia 3inci (lebih kurang seketul)
– Kunyit Hidup 2inci (lebih kurang seketul)
– Serbuk Kari Ayam / Kari Ikan (3 peket kecil)

Cadangan Masakan

  • Kari Ayam
  • Kari Daging
  • Kari Telur
  • Ikan Bakar Portugis

Boleh Juga Mix & Match

Dengan 6 pes ini sahaja, anda dah boleh buat pelbagai masakan. Saya selalunya mix & match dan gunakan beberapa pes dalam satu hidangan.

Contohnya bila nak masak rendang, saya campurkan pes ikan bakar + pes masak lemak.

Kalau nak masak rendang ayam pedas pula, masukkan pes ikan bakar + pes cili kering + pes masak lemak.

Cuma perlu tumis dan masukkan bahan-bahan yang anda suka seperti ayam / ikan / daging / seafood + sayuran / kentang dan sebagainya.

Mudah dan pantas, kan?

*Resepi pes masakan serbaguna ini disumbangkan oleh Puan Awien Ariff. Kalau nak tengok contoh resepi menggunakan pes ini, boleh tengok di SINI.

**Untuk banyak lagi perkongsian resepi, boleh follow Puan Awien Ariff di SINI.

Sumber Asal