Rupanya Kerajaan Singapura Sudah Keluarkan Waran Tangkap Jho Low Sejak Oktober 2016 Lagi.

JUTAWAN Low Thaek Jho dan Tan Kim Loong tersenarai dalam notis merah Interpol sejak Oktober 2016, atas permintaan Singapura.

Dalam satu kenyataan hari ini, tiga agensi penguatkuasaan Singapura berkata mereka telah mengeluarkan waran tangkap terhadap dua individu terbabit berkaitan perkara berhubung 1MDB sejak April dan Mei 2016.

“Berikutan permintaan Singapura, Interpol mengeluarkan Notis Merah pada Oktober 2016, untuk Low Taek Jho dan Tan Kim Loong, yang disyaki melakukan kesalahan di Singapura dan tidak boleh dikesan di sini.

“Semua anggota Interpol, termasuk Malaysia pasti menyedari Notis Merah apabila ia disiarkan,” kata pihak berkuasa itu.

Semalam, Malaysia turut mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa personaliti membabitkan skandal 1MDB terutamanya Low yang didakwa menjadi dalang mencuri berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan negara itu.

Low merupakan rakan rapat keluarga, orang kepercayaan dan penasihat bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini disiasat berhubung penggubahan wang haram. 1MDB merupakan cetusan idea beliau.

Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Perdagangan Singapura, Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) berkata negara itu meneruskan siasatan terhadap beberapa individu yang disyaki terbabit dengan kesalahan melibatkan 1MDB, kata pihak berkuasa negara republik itu.

Menurutnya, Singapura tidak akan bertoleransi dengan penggunaan sistem kewangannya untuk menggubah wang haram.

“Kami telah mengambil tidakan tegas terhadap institusi kewangan dan individu yang melanggar undang-undang dalam negara kami berhubung aliran tunai melibatkan 1MDB, termasuk dakwaan jenayah dan hukuman, dan juga denda dalam jumlah yang besar,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan mesyuarat antara ACG, CAD dan MAS bersama pasukan khas 1MDB Malaysia yang diketuai bekas peguam negara Abdul Gani Patail di Singapura semalam.

Mesyuarat itu diadakan atas undangan pihak berkuasa Singapura, dan kesinambungan daripada mesyuarat terdahulu dengan pasukan khas itu minggu lalu di Kuala Lumpur.

“Ia merupakan mesyuarat yang produktif, yang membuahkan hasil pertukaran maklumat.

“Singapura telah memberikan maklumat kepada Malaysia berhubung aliran dana berkaitan 1MDB, sejak Mac 2015, dan ini diperakui oleh Malaysia. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini,” kata pihak berkuasa Singapura.

Agensi penguatkuasaan dan perundangan Singapura telah menjalankan siasatan kemungkinan penggubahan wang haram dan kesalahan lain berkaitan aliran dana 1MDB, bermula pada Mac 2015.

Pihak berkuasa Singapura sebelum ini menjalankan semakan selama dua tahun terhadap bank dengan transaksi berkaitan 1MDB. Negara itu juga turut mendakwa beberapa individu, termasuk pegawai bank, berhubung kesalahan berkaitan transaksi dana 1MDB.

Pihak berkuasa sebelum ini turut mengeluarkan waran tangkap pada April dan Mei 2016 terhadap beberapa personaliti yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.