Inilah Punca Pergaduhan Antara Penguatkuasa MPK (Kelang) Dengan Peniaga Di Bazar Ramadhan…

DUA peniaga yang terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Bazar Jalan Taiping, Klang, Sabtu lalu didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pemeriksaan rekod permohonan lesen pihaknya mendapati seorang daripada individu itu pernah mendapat lesen berniaga di bazar pada 2014, namun tidak pada tahun ini.

“Kita (MPK) hanya menjalankan tugas selepas mendapat laporan daripada peniaga bazar berkenaan dan mereka juga diberikan amaran untuk tidak berniaga di situ sebelum tindakan sita dilakukan.

“Bukan hanya tiada lesen, mereka juga menjual air di dalam balang di mana ia dilarang sama sekali bagi memastikan kebersihan kawasan berkenaan.

“Bazar Jalan Taiping dikhususkan untuk jualan barangan kering seperti pakaian, aksesori dan kuih raya. Bagi jualan minuman pula, kita hanya membenarkan minuman dalam tin dan botol,” katanya pada sidang media di Bangunan MPK di sini, hari ini.

Menurut beliau, insiden pergaduhan berlaku apabila peniaga tidak membenarkan penguatkuasa menyita barang, malah seorang daripada peniaga bertindak menumbuk penguatkuasa yang menjalankan tugas.

“Saya tidak melihat punca pergaduhan berpunca pihak penguatkuasa kerana mereka hanya menjalankan tugas dan kita akan memanggil pegawai terbabit untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

“Tindakan melawan peniaga adalah tindak balas untuk mempertahankan diri dan insiden kekecohan tidak akan berlaku jika peniaga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Kata Mohamad Yasid berkata, kes itu kini diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Selain Bazar Jalan Taiping, MPK menyediakan lebih 1,300 tapak perniagaan dan peniaga yang berminat boleh memohon lesen dengan kadar sewa hanya RM10 sehari.

Semalam, polis Klang Utara menahan dua lelaki yang juga anak beranak bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan 9.40 malam itu.

Suspek berusia 18 dan 41 tahun itu yang juga peniaga minuman di bazar berkenaan kini direman selama empat hari.

Insiden itu mengakibatkan seorang anggota penguatkuasa berusia 30-an cedera pada muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.