Pelumba MotoGP Malaysia,Hafizh Syahrin Tidak Lagi Rasa Gemuruh Dan Gementar Seperti mana Bila Ada Gadis Litar Yang Seksi Di Sebelahnya Apabila Isterinya…

“KEHADIRAN isteri sebagai gadis payung membuatkan saya hilang rasa gemuruh dan gentar seterusnya nekad mahu menghabiskan perlumbaan di kedudukan terbaik.

“Alhamdulillah, bermula di petak 18 dan akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12,” kata pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah, 23.

Hafizh berkata, keputusan memilih isterinya, Noor Suzana Abd Manaf, 24, sebagai gadis litar pada perlumbaan MotoGP di Litar Buriram, Thailand, Ahad lalu, dilakukan secara spontan berikutan individu yang bertanggungjawab menggalas tugas terbabit tiba-tiba tidak hadir.

Katanya, dia terus mencadangkan kepada pasukan supaya memilih isterinya kerana kesuntukan masa selain keputusan itu memberi kelainan kerana menampilkan individu bertudung sebagai gadis litar.

“Sebelum ini, saya pasti akan gemuruh atau sedikit takut sebelum memulakan perlumbaan, namun kali ini perasaan itu tiada dan menjadi lebih bersemangat apabila isteri ada sebagai gadis litar.

“Pasukan pula bersetuju dengan cadangan saya itu, manakala Noor Suzana pula tiada masalah untuk memainkan peranan sebagai gadis litar yang kebanyakannya terdiri daripada perempuan seksi dan tidak berhijab,” katanya yang kini mengikuti siri jelajah Yamaha di Jakarta, Indonesia.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Hafizh atau dikenali sebagai El Pescao memilih isterinya yang berhijab sebagai gadis litarnya.

Malah, kemunculan Noor Suzana atau lebih mesra dipanggil Zana mencuri perhatian peminat dunia permotoran seluruh dunia apabila dia tampil manis dengan tudung berwarna hitam ketika memayungi suaminya di litar sebelum perlumbaan bermula.

Tindakan Hafizh dan Zana itu dipuji netizen yang berbangga kerana mereka mengekalkan ciri Islamik meskipun berada di luar negara.

Sementara itu, Zana berkata, dia selalu menemani Hafizh ke perlumbaan MotoGP tetapi bukanlah sebagai gadis litar.

“Saya terus bersetuju menjadi gadis payung dan ia tidak menjadi masalah kepada saya kerana sebagai isteri, saya perlu menemaninya seterusnya memberikan sokongan.

“Alhamdulillah, dia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 walaupun bermula pada kedudukan ke-18 sebelum perlumbaan bermula,” katanya.