Pelakon Datin Anne Ngasri Bakal Menimang Cahaya Mata Kelima Hujung Tahun Ini…

PELAKON yang kini bergiat aktif dalam bidang politik, Datin Anne Ngasri, 34, bakal menimang cahaya mata kelimanya hujung tahun ini.

Berkongsi berita gembira itu menerusi sebuah portal, Anne memberitahu kini sedang hamil tujuh bulan dan dijangka bersalin sekitar Disember depan.

Menurutnya, berdasarkan ujian imbasan yang dilakukan, cahaya mata yang bakal lahir itu adalah bayi perempuan.

“Anak saya yang terakhir pun sudah masuk usia lima tahun dan apabila dapat tahu saya hamil mula-mula terkejut juga kerana kami tidak merancang.

“Pun begitu perasaan teruja itu ada terutamanya anak-anak kerana bakal dapat adik perempuan,” ujar Anne sebagaimana dipetik daripada Mstar Online.

Anne mendirikan rumah tangga bersama suami, Datuk Mohd Sumali Reduan pada Disember 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sufi Harraz, 5.

Manakala daripada perkahwinan pertamanya, Anne mempunyai tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 12, Abdul Wafri, 10, dan Nazharah Afrozah, 8.