Status Facebook Najib ‘menganjing’ Maszler ini tular, mendapat 5.7k perkongsian

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini ‘menganjing’ kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang disindirnya sebagai berpandangan jauh.

Ini susulan kenyataan menteri itu bahawa isu mengenai warna stokin pelajar sekolah akan diputuskan kementerian pendidikan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam berkuatkuasa 2021 nanti.

“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Najib juga menyindir menteri BERSATU itu dengan berkata, sayang sekali menteri-menteri BN semasa pemerintahnya sebelum ini tidak membuat kajian sedemikian.

“Seterusnya, diharapkan menteri akan kaji warna baju, warna bangunan sekolah juga.

“Insya-Allah anak-anak kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dan berjaya di masa depan,” sindirnya lagi.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pemakaian kasut hitam di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021.

KPM berkata peraturan itu bagaimanapun akan dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 sebelum diperluas penggunaannya pada 2020.

Menurut kementerian itu lagi dalam tempoh tersebut juga pihak sekolah diminta tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid memakai kasut berwarna hitam.

Ibu bapa juga dinasihatkan tidak tergesa-gesa menyediakan kasut berwarna hitam untuk anak-anak mereka memandangkan murid masih mempunyai pilihan untuk memakai kasut putih sehingga 2020.

Susulan pengumuman itu, Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin mahu kementerian memberi penjelasan sama ada warna stokin putih oleh murid dan pelajar sekolah terlibat akan turut ditukar kepada warna hitam.

sumber: malaysiakini