Penyanyi Alyah Mengeluh Berat Badannya Naik Disebabkan Suaminya Datuk Ramli MS Pandai Masak…

DISEBABKAN hidangan enak daripada air tangan suami tercinta, Datuk Ramli MS, penyanyi Datin Alyah, 37, mengakui dia sukar mengawal selera makan hingga badannya berisi.

Alyah ketika ditemui berkata, dia mengakui tubuhnya kini agak berisi dan tidak menafikan ia berkaitan dengan faktor pemakanan.

“Ya, berat badan saya memang naik kerana kurang menjaga makan. Apatah lagi, saya seorang yang suka makan dan suami pula rajin memasak.

“Tok Ram (Ramli MS) memang pakar masak di dapur dan hidangan masakan beliau sangat enak,” katanya.

Menurut Alyah, dulu berat badannya 47 kilogram (kg) dan sekarang meningkat menjadi 58 kg.

Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan berkata, bertemu jodoh dengan Ramli yang juga pengarah dan penggubah muzik terkenal pada 2013.

Sudah lima tahun hidup bersama, penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini berkata, mereka lebih selesa memilih membawa haluan masing-masing di dalam urusan kerja.

Sehubungan itu, bermula hari ini segala urusan karier nyanyian Alyah merangkumi penerbitan single dan tawaran persembahan diuruskan sepenuhnya syarikat rakaman Warner Music.

“Saya sudah 18 tahun aktif dalam bidang nyanyian dan selama 11 tahun saya memacu perjalanan karier ini secara bebas tanpa terikat dengan mana- mana pihak pengurusan.

“Namun, menyedari senario perubahan industri hiburan masa kini membuatkan saya berfikir perlu menjalin kerjasama dua hala dengan syarikat rakaman.

“Jadi, sekarang adalah masa yang tepat untuk saya buat pilihan dan keputusan bagi karier nyanyian ini diuruskan sepenuhnya oleh Warner Music,” katanya.

Bersama Warner Music, Alyah turut rancak mengatur promosi single solo terbarunya, Jutaan Purnama ciptaan dan lirik bersama oleh Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

Masih kekal dengan genre balada, Alyah berkata, dia juga bersyukur apabila Jutaan Purnama nyanyiannya dipilih sebagai lagu tema drama (OST).

Katanya, jika tiada aral Jutaan Purnama itu akan menjadi lagu tema drama Seribu Rindu lakonan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz untuk slot Akasia di TV3 pada November nanti.

Menurut penyanyi lagu Kisah Hati ini, dia juga kini dalam perancangan untuk muncul dengan persembahan sulung yang menjadi impiannya sejak sekian lama yang dijangka dapat dibuat awal tahun depan.