Datuk Jamal Abdillah Kongsi Kenangan Bersama Allahyarham Saleem..

“SALEEM memiliki suara yang unik dan merdu serta tiada gantinya.” Begitu kata Raja Pop Datuk Jamal Abdillah mengulas pemergiaan Saleem buat selamanya, Ahad lalu.

Jamal berkata, walaupun dirinya senior 10 tahun berbanding Saleem dalam industri hiburan, namun beliau juga meminati lagu arwah.

Menurutnya, beliau pernah menyanyikannya ketika persembahan seperti Gerhana Cinta Luka serta Suci dalam Debu, dan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

“Saya juga terkejut dengan berita pemergian Saleem itu dan tidak dapat menziarah jenazahnya kerana ketika itu terbabit dengan urusan kerja di Ipoh, Perak.

“Namun, saya berusaha menghubungi telefon bimbit isterinya, Juriah dan anaknya, Syafiq Farhain pada hari kejadian tetapi gagal kerana telefon bimbit mereka ditutup.

“Apapun, saya juga mengucapkan salam takziah buat Juriah sekeluarga dan semoga mereka tabah serta reda dengan ketentuan Allah SWT yang lebih menyayangi arwah,” katanya.

Berkongsi kenangan dengan Saleem, katanya, beliau pernah bekerjasama dengan Saleem sebanyak dua kali menerusi lagu sepanjang kariernya dalam bidang seni.

“Selain menerusi lagu Isabella bersama Amy Search dan Zamani, kami juga berduet dalam lagu raya iaitu Lambaian Aidilfitri.

“Antara kenangan manis dengan arwah ialah apabila kami berkongsi pentas dan mencabar vokal dalam Konsert Amal Kasih di mana arwah menyanyikan lagu Derita Cinta dan saya pula menyanyikan lagunya Gerhana Cinta Luka. Arwah berjaya menyanyikan lagu saya dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun kata Jamal, ada kenangan yang melucukan ketika beliau bekerjasama dengan Saleem ketika rakaman lagu Isabella dulu.

“Saya masih ingat lagi, bila sampai giliran arwah untuk menyanyikan baris lagu Isabella, dia menyanyi dengan suara dari hidungnya hingga kami semua ketawa dan sesi rakaman terpaksa dihentikan seketika,” katanya.

Allahyarham Saleem atau nama sebenarnya AM Salim Abd Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur jam 6.15 pagi, Ahad lalu.

Penyanyi berusia 57 tahun itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu yang mengakibatkan tulang rusuknya patah serta berada dalam keadaan koma.